Followers

Wednesday, August 25, 2010

.::ZIARAH RAMADHAN KE SELATAN THAI::.



Salam Ramadhan Kareem, 10 hari kita dah berpuasa dan lagi 5 hari lagi ana, sahabat2 dan staf2 dari KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH akan berangkat ke Thailand untuk Program Ziarah Ramadhan ke Selatan Thai anjuran Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM KUIN) di bawah Biro Perhubungan Antarabangsa.

Kami ingin melihat sendiri kesusahan dan kesengsaraan balu2 membesarkan anak-anak yatim yang kehilangan ayah..kami ingin melihat sendiri ayah-ayah membanting tulang mencari rezeki untuk keluarga dalam keadaan bergolak seperti sekarang..kita tidak tahu juadah apa mereka berbuka, pakaian apa akan mereka pakai semasa raya Aidilfitri nanti, juadah apa yang perlu dijamu ketika saudara-mara pergi ziarah..

Sekarang kami bertungkus-lumus lagi mencari dana dan sumbangan kira-kira sebanyak RM 15, 000.00..Sesiapa yang bermurah hati untuk menderma, kami sangat alu-alukan bantuan anda..Bukan siapa2 yang kita akan tolong, tapi saudara seIslam yang paling dekat dengan kita..hanya terpisah sempadan saja dengan Malaysia..semoga apa yang anda mampu beri akan memberikan sinar baru kepada mereka pada bulan Ramadhan ini dan Syawal akan datang..InsyaAllah..


Untuk sumbangan sila hubungi :

Latifah Binti Mohd Nazir

019-4481792

Timbalan Biro Perhubungan Antarabangsa, MPM KUIN,

Merangkap ADHOC Program Ziarah Ramadhan ke Selatan Thai.


Wednesday, August 18, 2010

.::ADAB SEMASA BERBUKA PUASA::.

ADAB berbuka puasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu. Sahl bin Sa’ad melaporkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdoa ketika berbuka

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa daripada Rasulullah SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membaca: “Hilanglah dahaga, basahlah peluh (hilang kekeringan) dan tetaplah pahala, insya-Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas: “Rasulullah SAW pernah datang ke (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda makan dan berkata: Mereka yang berpuasa berbuka puasa di sisi kamu, mereka yang baik makan makanan kamu dan malaikat akan berselawat ke atas kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air

Rutab ialah buah kurma yang sudah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis, manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Anas berkata:

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Jika tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar, maka beliau minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Makan dengan sederhana

Orang berpuasa digalakkan tidak makan berlebihan ketika berbuka bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Segerakan solat Maghrib

Selepas berbuka dengan tamar atau air, jika makanan belum dihidangkan, umat Islam perlu segera menunaikan solat. Namun, jika makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) sudah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Friday, August 13, 2010

.::MADRASAH RAMADHAN::.



Ramadhan ibarat tempat rehat di tengah-tengah perjalanan yang panjang. Kehidupan ini satu perjalanan dan Ramadhan adalah tempat rehatnya. Di dalam Ramadhan, kita disediakan pelbagai peluang untuk mengambil bekalan rohani. Lebih penting bagi sesiapa yang berusaha memenuhkan rohaninya dengan bersungguh, maka dia akan mendapat bekalan terhebat semasa hendak berangkat meneruskan perjalanan.

Bekalan terhebat itu adalah Takwa.

Kewujudan Ramadhan yang sebulan lamanya, adalah pengisytiharan kepada kepentingan takwa. Allah mengarahkan hamba-hambaNya agar melalui Ramadhan dengan baik untuk menggapai ketakwaan ini. Ibadah Ramadhan bukan hanya seminggu, tetapi sebulan. Ibadah terpanjang dalam Islam.

Kenapa takwa ini diangkat sedemikian penting?

Sehingga Allah SWT menyediakan satu bulan khas untuk menggapainya.

Takwa diangkat sedemikian penting, kerana dengan kewujudan takwalah yang membantu kelangsungan ketaatan hamba kepada Allah SWT. Dengan kewujudan takwa, barulah manusia boleh hidup menjunjung perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Sama-sama kita muhasabah, kenapa Allah swt berfirman:

Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa.

(Al-Baqarah : 97)

Perhatikanlah perkataan bekal. Bekal untuk apa? Untuk perjalanan hidup kita. Hanya dengan takwa kita mampu merentasi kehidupan dengan baik, dalam ketaatan kita kepada Allah SWT.

Suatu hari, Umar Al-Khattab bertanya kepada Kaab bin Malik berkenaan erti takwa.

Kaab bin Malik menjawab:

Apakah kau pernah berjalan di satu tempat penuh duri, wahai Umar?

Sayidina Umar menjawab,

Pernah.

Kaab bin Malik bertanya lagi :

Apakah yang kau lakukan?

Aku singsing kainku agar tidak tercarik pada duri, kemudian aku berjalan hati-hati agar tidak terpijak dengan mana-mana duri itu.

Ketahuilah Umar, bahawa itulah yang sebenarnya takwa.

Takwa adalah rasa berhati-hati dan takut untuk ingkar pada apa sahaja larangan Allah SWT. Duri itu ibarat larangan Allah SWT. Takwa ibarat perbuatan berhati-hati dan menyingsing kain kerana takut terpijak dan tercarik kain.

Jadi bulan Ramadhanlah bulan untuk kita mengisi semula ketakwaan kita. Hanya dengan takwa, barulah kita boleh menjalani kehidupan dengan baik.

Kalau kita sedar, Allah SWT banyak mengeluarkan seruan kepada orang-orang yang bertakwa. Antaranya adalah :

Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar ketakwaan (Ali-Imran: 102)

Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Rab kamu, sesungguhnya hari zalzalah itu adalah perkara yang besar

(Al-Haj: 1)

Seruan-seruan ini hanya boleh disahut oleh mereka yang mempunyai ketakwaan yang sebenar dalam hati. Sebab itu, hanya yang bertakwa sahaja yang mampu membumikan Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka. Apabila kita punya takwa, tidak ada apa atau sesiapa lagi yang boleh menakut-nakutkan kita selain Allah SWT. Takwa adalah ketakutan, ketundukan dan ketaatan total kita kepadaNya.

Suatu hari, Umar Al-Khattab berjalan melalui satu lembah yang dipenuhi dengan kambing. Segera Umar Al-Khattab bertemu dengan si pengembalanya. Rupanya, si pengembala kambing yang banyak itu ialah seorang budak. Maka Umar Al-Khattab menguji budak itu.

Wahai budak, berikanlah aku seekor kambing.

Tidak boleh.

Berikanlah, wahai budak. Dan kalau tuanmu perasan, katakanlah kepadanya bahawa kambing itu dimakan serigala

Tidak boleh. Aku takut.

Buat apa kau hendak takut? Umar Al-Khattab tiada di sini untuk melihatmu

Tetapi Tuhan kepada Umar sentiasa melihatku.

Dan ketika itu, Umar Al-Khattab tunduk lalu menangis. Sungguh tinggi ketakwaan budak pengembala kambing itu.

Wahai orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah difardukan ke atas kaum sebelum kamu, moga-moga kamu mendapat ketakwaan.

(Al-Baqarah : 183)

Terbaca satu mesej dari handset ayah, mesej dari abang ana yang boleh ana kongsi. Ni ilmu baru yang ana dapat tapi maybe orang lain pernah tahu.

Doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan,

Ya Allah, tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:-

· Tidak memohon maaf terlebih dahulu daripada orang tuanya (jika masih ada)

· Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri.

· Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang2 sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali.

Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasulullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari jumaat..

P/S : Jangan kita menyesal sekiranya Ramadhan kali ini kita mensia-siakan masa yang ada dengan benda tak berfaedah. Jangan pula kita berangan-angan akan jumpa pula Ramadhan akan datang sebab kita tidak tahu perkiraan Allah untuk diri kita. Bulan Ramadhan inilah waktu kita berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala yang senang2 Allah nak bagi kepada hamba-hambaNya yang menginginkannya. Bulan-bulan yang lain kita hanya berlari-lari anak tapi bulan Ramadhan inilah kita mulakan langkah untuk pecutan terakhir untuk mendapatkan matlamat di depan garisan penamat. InsyaAllah....