Followers

Tuesday, March 6, 2012

.::SABARKAH AKU BILA DI UJI??::.

Adakah kita bila di timpa sesuatu musibah atau ujian kita akan lebih menjadi sabar atau kita akan merungut sebabnya kita merasakan kita tidak mampu untuk menghadapinya. Padahal ujian yang diterima kerana Allah sangat menyayangi kita untuk kita lebih mengingatiNya. Cuba kita fikir sekiranya kita sentiasa berada dalam keadaan senang lenang, sentiasa mendapat tuah, harta limpah luah, selalu mengecapi kebahagiaan dalam hidup. Adakah kita akan lebih mengingatiNya?.

Ya saya mengaku tidak semua akan sempurna, sehingga boleh mencapai tahap kesabarannya yang tinggi. Kata orang ‘sabar itu ada tahapnya, kadang-kadang akan hilang terus sabarnya’. Jarang sekali kita mengatakan bahawa nikmat yang diberikan Allah itu sebenarnya juga merupakan ujian dari Allah. Orang kaya yang banyak harta, sentiasa diselubungi ketakutan kerana takut perompak akan masuk ke rumah banglonya.

Allah mencintai hamba-hambaNya dengan cara unik dan berbeza-beza. Semakin tinggi ketakwaan seorang hamba, semakin unik cara Dia mencintainya. Salah seorang hambaNya adalah Nabi Ayub. Seorang nabi yang diuji oleh Allah dengan harta, keluarga serta kesihatannya.

Suatu saat ketika para malaikat membicarakan tentang manusia dan sejauh mana mereka beribadah kepada Allah. Salah seorang daripada mereka berkata: “Tidak ada di muka bumi ini seorang yang lebih baik daripada Nabi Ayub. Beliau adalah orang mukmin yang paling sukses, orang mukmin yang paling agung keimanannya, yang paling banyak beribadah kepada Allah SWT dan bersyukur atas nikmat-nikmatNya dan selalu berdakwah di jalanNya”

Syaitan mendengarkan perbualan para malaikat lalu mereka mencuba untuk menggoda Nabi Ayub. Tetapi kerana keimanan Nabi Ayub yang sangat tinggi kepada Allah syaitan mendapat kesulitan mendapatkan jalan untuk mengganggu.

Pertama beliau diuji hartanya yang semakin susut. Lalu menjadi fakir dalam sekelip mata. Ujian kedua kematian anak-anaknya, namun beliau masih sabar dan pada masa memupuk ketakwaan pada Allah. Yang paling teruk ujian yang dihadapi Nabi Ayub, beliau terkena penyakit sakit kulit di mana tubuhnya membusuk dan mengeluarkan nanah. Selama 7 tahun beliau menderita dengan penyakitnya, bahkan keluarganya dan sahabat-sahabatnya memulaukannya kecuali isterinya. Walaupun menghadapi uijian getir itu keimanan kepada Allah langsung tidak terjejas. Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya yang tidak ketinggalan mengingati Allah.

Masyaallah utuhnya keimanan Nabi Ayub sehingga di uji begitu dahsyat tapi masih lagi tidak menyalahkan Tuhannya. Semakin berat sakit yang dirasa, semakin cinta Nabi Ayub kepada Allah. Dan mulianya Nabi Ayub, semakin parah penyakitnya semakin ia tersenyum. Allah dan para malaikat pun akan tersenyum oleh kesabaran lelaki mengagumkan itu.

“Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)”((QS Shad :44)

Semua orang pernah menghadapi ujian, cuma berbeza-beza ujian yang dihadapi, dan cara dia menangani. Saya juga pernah merasai pahitnya bila berdepan dengan musibah. Allahuakbar!! Hanya iman membatasi tahap kesabaran kita. Merungut pernah, mengungkit pun pernah, tapi siapa kita jika nak dibandingkan dengan Allah. Allah pencipta kita, Dia tahu tahap kemampuan hambaNya untuk menghadapi ujian kerana

Firman Allah SWT

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

(QS. Al-Baqarah 286)

Sangat jauh bezanya tahap kesabaran kita dengan Nabi Ayub. boleh tersenyum bila sakit. Kita menangis dan mengeluh bila ditimpa kesakitan. Saya pun alhamdulillah baru sihat, seminggu Allah tarik nikmat sihat saya. Allah...risau sangat bila terpaksa korbankan kelas lagi-lagi sekarang dah tahun last. Bila ditimpa kesakitan semua kita tidak mampu buat sehingga amal ibadah, kita buat sambil lewa kerana badan kita terlalu lemah. Padahal waktu itulah kita lagi pertingkatkan amal ibadah, minta moga Allah sembuhkan kita, merintih padanya, merayu padanya dalam keadaan solat, zikir, baca Al-Quran dan dengan ibadah yang lain. Tapi ingat bukan bila sakit kita ingat Allah tapi kita perlulah ingat Allah dalam keadaan susah mahupun senang. Malulah pada Allah. Insyaallah bila kita sihat, kita boleh jalankan kembali amal kita sebagai orang mukmin. Boleh berbakti untuk orang lain. Moga kita sama-sama mengambil iktibar dari kisah Nabi Ayub.

Allah SWT berfirman:

“Dan (ingatlah kisah) Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: (‘ Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang’. Maka Kami Pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padannya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.” (QS. Al-Anbiya’ :83-84)