Masih belum terlambat ana melahirkan kebencian kepada Perayaan 'Hari Memperingati Kekasih' atau lebih dikenali dengan Valentine's Day.
Fenomena perayaan Hari Valentine tidaklah terlalu asing di Malaysia. Para remaja sekarang lebih meraikan budaya syaitan ini daripada perayaan agama Islam itu sendiri. Mereka biasa merayakannya dengan saling memberikan bunga dan hadiah kepada kekasihnya, kadang-kadang mereka mengadakan pesta muzik yang dihidangkan dengan minuman keras. Perayaan ini pun bukan hanya dilakukan oleh anak muda sahaja tetapi pasangan suami isteri juga turut meraikannya.
Lebih merisaukan lagi, budaya ini banyak menular dikalangan remaja Islam, golongan yang selalu dipesan oleh Rasulullah S.A.W supaya golongan ini menjaga perilakunya dengan ajaran Islam dan tidak mengikut cara hidup orang kafir malah mereka hanyut dalam perayaan jahiliah ini dengan meninggalkan akidah Islam.
Namun, apabila mereka kembali melupai ajaran Islam untuk dipraktikkan dalam kehidupan, maka mereka kembali ditimpa dengan pelbagai kehinaan. Benarlah sebagaimana ucapan Saidina Umar al-Khattab yang menyatakan:
“Kita adalah suatu bangsa dan golongan yang telah dimuliakan Allah apabila kita berpegang dengan ajaran Islam, akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan!”.
Mengikut sejarah, Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa versi yang mengaitkan paderi St. Valentino ini dengan sambutan Valentine's Day. Versi pertama ialah dia merupakan orang terpenting yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan dengan itu, tanggal 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun, sekaligus dapat mengenang jasa St. Valentino itu.
Menurut versi kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaannya menumpaskan kerajaan Islam Sepanyol, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam, manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua. Apabila beliau ditanya tentang bentuk ganjaran yang beliau inginkan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan bahawa dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Perkara ini menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengikut mazhab Protestan, apatah lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Berdasarkan sejarah asal-usul sambutan Valentine's Day ini, mengapakah masih terdapat umat Islam yang masih menganggap bahawa Hari Valentine itu begitu istimewa? Mengapakah masih terdapat umat Islam yang hanya mengikut budaya Barat secara membuta tuli dan semberono sedangkan mereka mengetahui siapakah sebenarnya St. Valentino itu?! Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:
'Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.'
No comments:
Post a Comment