MADRID - Seorang wanita dari Galicia, Sepanyol, Angeles Duran (gambar) menyatakan matahari secara rasminya sudah menjadi miliknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Duran yang berusia 49 tahun, dia mendaftarkan namanya sebagai pemilik matahari di sebuah pejabat notari awam tempatan.
Pejabat notari awam bertanggungjawab mengesahkan sesuatu perjanjian yang dibuat.
Dokumen yang dikeluarkan pejabat itu mengisytiharkan bahawa Duran merupakan pemilik matahari iaitu bintang yang terletak di pusat sistem suria dengan jarak dari Bumi kira-kira 149,600,000 kilometer.
Menurut wanita itu kepada akhbar El Mundo, dia mengambil langkah mendaftarkan namanya sebagai pemilik matahari pada September lalu.
Duran berkata, dia mendaftarkan namanya itu selepas membaca artikel bahawa seorang lelaki Amerika Syarikat telah mendaftarkan namanya sebagai pemilik bulan dan kebanyakan planet di dalam sistem suria.
Dia menjelaskan, terdapat satu perjanjian antarabangsa yang menyatakan bahawa tidak ada mana-mana negara boleh mengaku menjadi pemilik bintang atau planet.
Namun, perjanjian itu tidak menyatakan bahawa mana-mana individu tidak boleh menjadi pemilik bintang atau matahari.
Duran menyatakan, dia kini mahu mengenakan caj kepada setiap orang yang menggunakan matahari.
Menurutnya, dia akan memberikan separuh daripada hasil kutipannya itu kepada kerajaan Sepanyol, 20 peratus untuk dana pencen, 10 peratus bagi tujuan penyelidikan dan 10 peratus untuk menamatkan kebuluran dunia manakala 10 peratus lagi menjadi miliknya. - Agensi
3 comments:
wah..betul ke ni?
boleh pulak cari duit macam tu...
-_-"
ish2..xbleh jadi ni.ada jugak noh.haisy~~
eish..sengalnye..Allah bg kte free je..Aku nak jadi pemilik badan dye ar..selagi dye idop dye kena bayau dekat aku..sape2 yg berinteraksi ngn dye akn dikenakan cas..muahahaha
Post a Comment